Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 23 JANUARI 2024 : Program Ziarah Kasih oleh Dewan Negeri Pahang menjadi medium bagi mengetahui perkembangan dan aktiviti bekas-bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang.
Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, program seumpama ini bukan sahaja dapat mengekalkan hubungan baik di antara ADUN terdahulu dengan sekarang tetapi dapat juga mengetahui perkembangan semasa selain menceriakan mereka.

“Sebelum Hari Raya Cina ini kita akan cuba kunjungi bekas-bekas wakil rakyat yang akan menyambut Tahun Baru Cina, untuk menceriakan lagi sambutan mereka dan bertanya khabar tentang kedudukan mereka atau pun bertanya khabar tentang kesihatan, kehidupan seharian.
“Kerana kita mereka ini mempunyai banyak jasa ketika mereka menjadi Ahli Dewan sudah tentulah banyak Rang Undang-Undang dan Enakmen serta pebambahbaikan di dalam pentadbiran Negeri Pahang semasa menjadi Ahli Dewan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Kunjungan Ziarah Bekas ADUN Jengka, YH. Dato’ Drs. Haji Abdul Rahman Ibrahim di rumahnya di Indera Mahkota, Kuantan.
Dato’ Drs. Haji Abdu Rahman yang pernah bertugas di UiTM dan KIPSAS menggalas sebagai ADUN Jengka selama satu penggal pada tahun 2004 hingga 2008.
Beliau yang kini menghadapi masalah kesihatan berkaitan jantung baru sahaja discaj selepas menerima rawatan perubatan di Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) UIAM, Kuantan.

Beliau ditemani isteri, Datin Dr. Hajah Raudah Muhammad Thaib Jalil bersama empat anaknya sangat terharu dengan kunjungan ziarah oleh pejabat Dewan Negeri Pahang kerana dapat meluangkan masa bersama kenalan.
“At least (sekurang-kurangnya) dapat berjumpa dan bersembang dengan mereka (Pejabat Dewan Negeri), bagus usaha ini, sebelum ini ada juga tetapi tidak rasmi,” katanya.
Pada majlis itu, Dato’ Drs. Haji Abdu Rahman menerima sumbangan kewangan dan hamper daripada Pejabat Dewan Negeri Pahang sebagai tanda ingatan. – PAHANGMEDIA

