Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 22 JANUARI 2024 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli ke Majlis Perasmian Smart Sawah Berskala Besar (SBB) Ala Sekinchan Pahang di KPA Permatang Durian, Skim Merchong, di sini hari ini.
Turut berangkat ialah anakanda baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Dato’ Sri Mohamad Sabu, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang dan ketua-ketua jabatan.
Majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Merchong, Mukim Bebar itu bertujuan meningkatkan produktiviti pengeluaran beras di Malaysia khususnya di Pahang.
Menurut YB Dato’ Sri Mohamad, Program Smart SBB telah dimulakan secara rintis pada Luar Musim Tahun 2022 di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin dan IADA Pekan dan mendapat kerjasama Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dengan peningkatan 83 peratus hasil pengeluaran.
Projek rintis tersebut telah membabitkan seramai 182 pesawah yang mengusahakan seluas 375.11 hektar sawah.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperkenalkan model baharu iaitu SMART SBB Ala Sekinchan yang menerapkan amalan pertanian berhasil tinggi dengan mempraktikkan Knowledge, Attitude dan Practice yang dilancarkan pada Mei 2023 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), IADA Kemasin Semerai dan IADA KETARA. – PAHANGMEDIA