Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 8 JANUARI 2024 : Seorang penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP), Encik Zaimi Mat Raih, 42, dari Kampung Tanjung Lepar, Pekan bersyukur kerana rumah RRP bertiang yang diterimanya tidak dinaiki air walaupun kawasan telah ditenggelami banjir.
Menurutnya, sejak lahir dia bersama keluarga sentiasa berhadapan banjir dan kerosakan harta benda akibat bencana tersebut sehinggalah beliau terpilih menerima RRP pada tahun ini.
“Saya ingin menyatakan penghargaan kepada YAB MB, YB Sharim dan seluruh Kerajaan Negeri Pahang kerana terlampau prihatin, dia bukan sekadar politik, dia tidak kira apa fahaman politik sekali pun, dia tetap membantu rakyat, untuk rakyat, tidak kiralah idealogi apa pun, rakyat diutamakan, tidak pilih bulu, tidak pilih kroni, itulah saya bangga duduk di Negeri Pahang ini dengan Kerajaan sekarang ini, membantu sangat rakyat,” katanya.

Beliau ditemui ketika sedang berpindah ke PPS Balairaya Kampung Tanjung selepas air banjir sedalam 7 kaki menenggelamkan tiang rumah RRP miliknya.
Beliau bersama isteri dan lima anaknya kini ditempatkan di PPS berkenaan bersama 11 mangsa lain daripada tiga keluarga.
Tambahnya, RRP tersebut yang sepatutnya diserahkan pada esok, 9 Januari 2024 terpaksa ditunda ekoran bencana banjir yang melanda.
Sehingga jam 4 petang tadi, sebanyak 26 PPS telah dibuka dengan menempatkan seramai 1,393 mangsa daripada 383 keluarga membabitkan tiga daerah iaitu Maran, Rompin dan Pekan. – PAHANGMEDIA

