Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 8 JANUARI 2024 : Sebanyak enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Chini selepas paras air di kawasan terbabit dilaporkan semakin meningkat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Sharim Haji Md Zain berkata, sehingga kini seramai 262 mangsa daripada 88 keluarga telah dipindahkan ke enam PPS bermula hari ini.
“Kita turun ke kampung tradisional di DUN Chini, beberapa PPS telah dibuka antaranya Dewan Air Hitam dan PPS Tanjung Lepar, Batu Balik.
“Di Tanjung ini ada enam keluarga dan di Air Hitam ada lima keluarga dan keseluruhan mangsa yang terlibat yang dipindahkan ke PPS ada 88 keluarga yang melibatkan daripada semalam 7hb di kawasan FELDA Chini Timur 3, Chini 1 dan beberapa Kampung Orang Asli juga yang terlibat antaranya Batu Gong, Dusun dan sekejap lagi saya akan ke Gumum dan Bukit Udang,” katanya.

Beliau ditemui ketika menziarah ke lokasi-lokasi banjir antaranya Kampung Tanjung, Tanjung Lepar, Air Hitam dan Mentiga di Chini selain meninjau PPS yang baru sahaja dibuka.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar semua penduduk sentiasa bersedia menghadapi banjir gelombang kedua kerana Monsun Timur Laut (MTL) hanya akan berakhir pada Mac depan.
“Saya harapkan semua masyarakat di DUN Chini dapat bersiap sedia dan kalau ada keperluan rumah yang penting supaya dapat disimpan dengan baik dan bersedia untuk berpindah apabila diarahkan terutama kita risaukan pada waktu malam kerana kita tidak dapat menjangka keadaan cuaca ini,” katanya.
Sehingga jam 12 tengahari tadi, sebanyak 24 PPS telah dibuka dengan menempatkan seramai 1,165 mangsa daripada 316 keluarga.
Tiga daerah terlibat banjir adalah Maran, Rompin dan Pekan. – PAHANGMEDIA

