Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 JANUARI 2024 : 24 penghuni kuarters SK Bandar 2 Paloh Hinai dipindahkan berikutan terdapat mendapan tanah disebabkan hujan yang berterusan.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, pihaknya menerima laporan kejadian pada 8.55 pagi oleh pihak sekolah.
“Lokasi tanah mendap ini berhampiran dengan bangunan Kuarters SK Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan. Bangunan kuarters adalah 4 tingkat dan diduduki oleh lapan keluarga yang terdiri daripada 14 orang dewasa dan 10 orang kanak-kanak.
“Untuk makluman, bangunan kuarters telah dikosongkan oleh semua penghuni bagi langkah-langkah keselamatan. Kesemua penghuni telah dipindahkan sementara ke asrama sekolah,” katanya.
Menurut beliau, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bomba turut melakukan pemantauan berterusan dari masa ke semasa di kawasan berkenaan.
“Pemasangan papan tanda amaran dan warning barricade tape telah diletakkan di lokasi kejadian bagi memberi amaran kepada orang awam.
“Pihak JKR turut memaklumkan, penyiasatan tanah dan tapak oleh Bahagian Struktur dan Cerun secara terperinci akan dibuat bagi tujuan pembaikan kawasan mendapan tanah,” katanya. -PAHANGMEDIA

