Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 03 JANUARI 2024 : Bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini disalurkan secara terus kepada Pusat Khidmat Operasi Bencana (PKOB) bagi memastikan tidak berlaku pertindihan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebarang bantuan yang ingin dihulurkan perlulah menghubungi PKOB terlebih dahulu.
“Kita ada Pusat Khidmat Operasi Bencana (PKOB) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Di Pahang ini semua aktivti sama ada pembersihan, bantuan, kita salurkan kepada PKOB. Kita tak nak terjadi kerja dua kali atau redundant.
“Maknanya bila diberi kepada PKOB, YB. Setiausaha Kerajaan selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana akan menyelaraskan perkara ini. Maknanya Petronas bagi hari ini, Petronas tidak dengan sendiri-sendiri, dia rasa nak pergi ke PPS di Lipis contohnya, dia pergi sendiri. Tidak. Mereka mesti menghubungi pengerusi PKOB untuk menyalurkan bantuan.
“Dan sebab itu kalau kita lihat, kita di Pahang ini lebih teratur, lebih tersusun, dan boleh dikatakan aduannya boleh saya katakan tiada daripada mangsa-mangsa banjir. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan pakej prihatin kepada 1,500 keluarga mangsa banjir di Pahang oleh Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Encik Mohammad Ahmad Shazly Ramli melalui Yayasan PETRONAS dibawah Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 di Wisma Sri Pahang.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, YS. Dato’ Ir. Ts. Dr. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa; Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Negeri Pahang, Kol. (PA) Che Adam A Rahman; Ketua Polis Pahang, YH CP Dato’ Seri Yahaya Othman; dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, YBrs Puan Siti Nor Hasma Mat Isa.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Petronas diatas sumbangan pek barangan dengan jumlah keseluruhan RM460,000 kepada mangsa banjir di negeri ini.

Mengulas mengenai penghantaran bantuan oleh Kerajaan Pahang ke negeri lain yang terjejas banjir, beliau melahirkan komitmen untuk menghulurkan bantuan seperti sebelum ini.
“Atas dasar kemanusiaan, kita akan bantu. Dan ini adalah perkara biasa sejak dari dulu lagi. Tapi seadanyalah,” katanya.
Sumbangan Pakej Prihatin ini terdiri daripada keperluan asas seperti selimut, tuala mandi, biskut, makanan sedia dimakan, peralatan mandian, ubat gigi, berus gigi dan air mineral diagihkan kepada setiap keluarga dengan kerjasama JKM Negeri Pahang.
Selain itu, PETRONAS turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api bernilai RM10,000 dalam bentuk kad hadiah bagi kegunaan pihak berkuasa berkaitan sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir. -PAHANGMEDIA

