Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 DISEMBER 2023 : Seramai 476 nelayan seluruh Daerah Kuantan telah menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Nelayan dengan jumlah keseluruhan RM95,200.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda ingatan Kerajaan Pahang terhadap golongan nelayan yang kebanyakannya terjejas pendapatan masa musim tengkujuh kerana tidak dapat menangkap ikan.
“Sumbangan sebanyak RM200 setiap seorang nelayan ini merupakan tanda ingatan Kerajaan Pahang terhadap nelayan di negeri ini memandangkan kesukaran mereka ke laut pada musim tengkujuh.
“Jangan dilihat kepada nilainya yang penting tanda ingatan kerajaan dalam mengagihkan pelbagai bantuan menerusi BPP kepada setiap segenap rakyat di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Nelayan Insentif Kerajaan Pahang di Dewan PM Najib, Batu 3 di sini hari ini.
Dalam ucapannya, beliau berkata, kebajikan nelayan sentiasa menjadi perhatian Kerajaan Negeri terutama ketika Monsun Timur Laut (MTL) melanda negeri-negeri di Pantai Timur.
“Diharapkan dengan bantuan ini dapatlah sedikit sebanyak menambah keperluan para nelayan bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya. – PAHANGMEDIA

