Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 20 DISEMBER 2023 : Keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap rakyat tidak pernah terpadam malah diteruskan dengan penambahan jumlah bantuan mengikut keupayaan kewangan Kerajaan Negeri yang semakin stabil.
Begitu juga dengan pemberian Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang menjadi harapan kepada rakyat untuk memiliki kediaman sendiri berjaya direalisasikan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, inisiatif Kerajaan Pahang menyediakan rumah kepada golongan yang tidak berkemampuan amat dihargai.

“Terima kasih tidak terhingga kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana merealisasikan hasrat penduduk khususnya dari kawasan Dong untuk memiliki rumah sendiri.
“Rata-rata penerima yang saya temui menzahirkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih… Walau ada di antaranya (penerima) usia dah agak lewat tapi Alhamdulillah masih berpeluang memiliki rumah sendiri.
“Mana lagi dalam negara ni nak dapat bantuan sebegini, di Pahang yang cukup bertuah ini lah. Saya berharap semua penerima bersyukur dan menghargai rumah pemberian Kerajaan Pahang ini,” katanya.
Beliau berkata selepas Pra-penyerahan dan meninjau tujuh buah rumah banjir yang dibina khas di Kampung Ajai dan menyerahkan kunci 11 buah Rumah Rakyat Pahang (RRP) di DUN Dong dan Tras. –PAHANGMEDIA

