Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 19 DISEMBER 2023 : Penerima rumah Penempatan Semula Nelayan (PSN) diingatkan supaya tidak menjual atau menyewakan kediaman yang diterima.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana tujuan pemberian rumah berkenaan adalah bagi membantu golongan nelayan yang kurang berkemampuan dan tidak memiliki kediaman sendiri.
“Tak boleh jual (rumah PSN) sebab rumah ini yang Kerajaan bagi. Kalau tidak (kediaman dijual) dia beat the purpose bantuan kepada mereka.
“Tujuan kita bagi bantuan untuk memberikan keselesaan kepada mereka, untuk mereka mendapat rumah. Rumah ini sebuah RM35,000. Itu yang saya pesan jangan jual rumah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Bunut Rendang Fasa 3 kepada 16 penerima di Wisma Sri Pahang hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak; dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan Persatuan Nelayan bagi memastikan semua penerima tidak menjual atau menyewakan kediaman mereka.
“Kita akan dapatkan maklumat daripada pengerusi Persatuan Nelayan yang akan memantau dan sebagainya (perkara ini).
“Tapi saya percaya mereka akan menduduki rumah itu sebab mereka tak ada rumah. Kalau mereka ada rumah, kita tak bagi,” katanya.
Beliau berkata pembinaan Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Bunut Rendang ini juga adalah usaha berterusan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan golongan nelayan terpelihara.
“Ini adalah satu usaha berterusan Kerajaan Negeri dimana usaha kita untuk membantu nelayan kerana kita tahu mereka tidak mampu memiliki rumah.
“Jadi Kerajaan Negeri telah memberi sebidang tanah melalui PSK (Perbadanan Setiausaha Kerajaan) untuk di bina rumah kepada mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA

