Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 18 DISEMBER 2023 : Seramai 37 pengusaha bot pelancong, malim gunung dan pemandu pelancong di Bentong dan Raub menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bernilai RM7,400.
Bantuan Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang ini telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Bentong, YB. Puan Young Syefura Othman, di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Bentong semalam.
Majlis Penyerahan BPP Kluster Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung tahun 2023 ini melibatkan 22 penerima daripada Bentong dan 15 lagi daripada Raub.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man menerusi kenyataan media berkata pengagihan ini melibatkan 800 penerima di seluruh negeri ini.
“Pengagihan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bagi Kluster Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung ini telah bermula pada 30 November 2023 yang lepas dan pengagihan berakhir hujung Disember 2023 ini melibatkan seluruh daerah di Negeri Pahang.
“BPP ini serba sedikit dapat membantu meringankan beban kepada pemandu bot pelancong, malim gunung dan pemandu pelancong dan secara tidak langsung memberi suntikan motivasi kepada mereka dalam bidang yang diceburi,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan RM160,000 bagi program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung pada tahun ini yang memberi manfaat kepada 800 orang penerima seluruh Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

