Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
JERANTUT, 18 DISEMBER 2023 : Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung Tahun 2023 dapat membantu golongan terbabit mengharungi musim tengkujuh yang kini melanda Pahang sehingga Mac tahun depan.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man berkata, pemberian BPP ini merupakan tanda ingatan kerajaan yang prihatin terhadap kebanyakan penggiat pelancongan yang terjejas pendapatan apabila Monsun Timur Laut (MTL) tiba.

“Penyampaian BPP ini kepada golongan tersebut khusus untuk membantu semasa musim tengkujuh dan musim hujan sebab ketika ini berlaku pengurangan pelancong ke Negeri Pahang.
“Jadi pemberian dan sumbangan pada masa ini adalah satu tanda untuk menyampaikan tanda kasih Kerajaan Negeri yang memahami kesukaran oleh pemain-pemain industri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Pemandu Pelancong, Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung ‘Insentif Kerajaan Pahang’ yang diadakan di Dataran Kuala Tahan, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Toursim Pahang, YBrs Encik Kamarudin Ibrahim, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, YBrs Mohd Ashrul Ashraf Haji Mohd Noor, Ketua-ketua Jabatan dan pemimpin setempat.
Pada majlis itu seramai 404 Pemandu Pelancong, Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung telah menerima bantuan berjumlah RM80,800 bagi seluruh Daerah Jerantut.
Kesemua penerima terdiri daripada Nature Guide Kuala Tahan, Nature Guide Kuala Sat, Nature Guide Sungai Relau, Nature Guide Ulu Cheka, City Guide PHTGA, Malim Gunung dan Pemandu Bot.

Sehingga kini, seramai 800 Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung seluruh Pahang telah menerima BPP 2023 membabitkan jumlah keseluruhan RM160,000.
Sementara itu, Pengurus Besar Toursim Pahang, YBrs Encik Kamarudin Ibrahim berkata, Pahang kini telah bersedia untuk menerima kedatangan pelancong ke negeri ini pada 2024 dengan menambah jumlah bilangan pemandu pelancong dan malim gunung.
Jelasnya, setakat ini Tourism Pahang telah melatih lebih 2,000 pemandu pelancong dan malim gunung bagi memastikan kelancaran perjalanan sektor pelancongan khususnya membabitkan kawasan Taman Negara. – PAHANGMEDIA

