Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 17 DISEMBER 2023 : Bantuan Prihatin Pahang (BPP) terutamanya dari aspek agama terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri malah ditambahbaik saban tahun.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM160 juta diperuntukan untuk BPP dan jelas sekali ini adalah komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan syiar Islam berbanding dengan perkara lain
“Hari ini salah satu bukti di mana kita serahkan BPP bernilai hampir RM1.5 juta kepada Maahad Tahfiz, pelajar tahfiz, mualaf serta masjid dan surau kebenaran Jumaat bagi Daerah Temerloh dan Bera.

“Terkini kita bagi kanak-kanak lelaki di Pahang berkhatan secara percuma dengan peruntukan sebanyak RM1 juta. Banyak lagi kalau nak diceritakan antaranya tadika tahfiz yang kini ada 21 buah, hantar pelajar ke Mesir, Jordan dan nak kembangkan lagi ke Morocco selain bantuan kepada anak-anak pahang di IPT.
“Jadi, jika ada yang mengatakan kita ini tidak Islamik atau sekular, saya nafikan. Kita dah buktikan dengan jelas bahawa semua peruntukan ini adalah untuk menegakkan syiar Islam khususnya di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Pahang Media selepas Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dan Program Berkhatan Anak Pahang di Masjid Daerah Temerloh (Baru) Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Hadir sama YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Dato’ Rodzuan Zaabar, Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal Ramli serta penyelaras-penyelaras DUN. -PAHANGMEDIA

