Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 09 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang sedang dalam proses menaiktaraf sebuah padang di daerah Raub bagi menjadikannya sebagai padang bola sepak berprestasi tinggi.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata padang bola sepak berkenaan bakal memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya golongan muda melibatkan kawasan Pahang Barat.
“Hari ini saya bersama dengan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri dan pegawai Majlis Sukan Pahang meninjau beberapa lokasi di Raub untuk kita jadikan padang bola sepak berprestasi tinggi Majlis Sukan Pahang.
“Kita dah pergi tiga lokasi yang kita nampak potensi untuk dibangunkan padang bola sepak berprestasi tinggi ini di Kampung Pamah Kulat dan saya telah minta Encik Zamri dan pasukannya untuk buat penilaian segera.
“Kita mahu ada satu padang bola sepak berprestasi tinggi yang lengkap dengan lampu limpah dan sebagainya di Pahang Barat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau padang bola sepak di Kampung Pamah Kulat bagi membina padang bola sepak berprestasi tinggi di Raub yang turut dihadiri Pengarah MSP, Encik Zamri Hassan.
Beliau sebelum itu, telah melawat padang di Kampung Gali Tengah dan Taman Dong Jaya bagi tujuan sama.
Menurut beliau lagi, pemilihan padang bagi dinaiktaraf sebagai padang bola sepak berprestasi tinggi bertujuan menggilap bakat anak muda di kawasan Raub dan sekitar daerah ini.
“Setakat ini tak ada (padang bola sepak berprestasi tinggi) di Pahang Barat ini. Banyak pemain yang berbakat dan berpotensi yang dilahirkan dari Pahang Barat ini sejak sekian lama.
“Jadi saya harap nanti dapat direalisasikan hasrat ini, sebuah padang bola sepak berprestasi tinggi yang lengkap di kawasan Pahang Barat untuk kita gilap lebih ramai bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak.
“Dan ini sememangnya menjadi komitmen Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Sukan Pahang untuk terus membangun dan memajukan sukan bola sepak di negeri ini khususnya dari peringkat akar umbi lagi,” katanya.
Menurut beliau, banyak pihak bakal mendapat manfaat daripada pembinaan padang bola sepak yang dijangka dapat digunakan sebelum pertengahan tahun hadapan.
“Padang ini bukan sahaja untuk orang Raub tetapi melibatkan kawasan Pahang Barat. Maknanya kita carter Raub, Kuala Lipis, Cameron Highlands, dan juga Bentong daripada empsat daerah ini.
“Dan saya juga akan menjalin kerjasama rapat dengan Sri Pahang FC agar padang ini boleh digunakan untuk sesi latihan dan pemanas badan mereka. Ini yang CEO Sri Pahang FC sendiri, Dato’ Sufian yang maklumkan pada saya. Jadi saya sahut seruan tersebut dan saya berbincang dengan MSP, memang ada keperluan sebenarnya.
“Saya minta penilaian segera di buat dah lagi cepat (tempoh siap) lebih bagus. Saya ingat dalam tiga, empat bulan boleh siap (proses naiktaraf) dan boleh disiapkan sebelum pertengahan tahun depan,” katanya.
Beliau berkata buat masa kini, pihaknya telah mengenalpasti pengkhususan acara sukan berdasarkan daerah melibatkan beberapa daerah di negeri ini dan proses ini juga masih berjalan.
“Kita tengok dia (daerah) ada keperluan-keperluan tertentu. Mungkin sini (Raub) kita nak majukan sukan bola sepak, di Temerloh kita tengok kepada silat dan olahraga, di Jerantut sukan muay, di Cameron Highlands ada olahraga jarak jauh dan sederhana, di Kuantan macam-macam, di Rompin sukan angkat berat, dan kita tengoklah ada keperluan tertentu, kita tengok niche area tu.
“Dan saya akan terus kenalpasti niche area untuk setiap daerah ini. Setakat ini dah nampak sikit (pengkhususan sukan berdasarkan daerah) cuma banyak lagi yang perlu kita laksanakan. Untuk sukan golf misalnya selain dari Pekan dan Kuantan sekarang ada permintaan untuk buat di Bentong. -PAHANGMEDIA

