Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 08 DISEMBER 2023 : Pembinaan Masjid Felda Selendang 2 yang dinaik taraf daripada surau sebelum ini kini dalam proses menentukan skop dan brif projek daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menerima surat bagi melaksanakan pembinaan masjid tersebut.
“Status kelulusan Masjd Selendang 2 adalah diluluskan dengan peruntukan RM2.4 juta sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri bagi pelaksanaan pembinaan masjid baharu dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang sebagai agensi pelaksana.
“Projek menaik taraf surau kebenaran Jumaat ini telah diluluskan bagi pembinaan masjid baru. MUIP melalui Jawatankuasa Kelulusan Zakat Tahun 2023 telah bersetuju sebanyak RM200,000 diperuntukan untuk pembinaan masid baru tersebut.
“Pihak JKR telah menerima suratkuasa daripada Pejabat Pembangunan Negeri Pahang (PPNP) bertarikh 20 September 2023 bagi pelaksanaan projek ini dengan peruntukan RM2,400,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd. Johari Hussain berkenaan status kelulusan pembinaa Masjid FELDA Selendang 2 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambah beliau lagi, pembinaan masjid baharu tersebut juga menggunakan peruntukan khas daripada YAB. Timbalan Perdana Menteri 1.
“Untuk makluman, projek ini adalah menggunakan peruntukan khas YAB. Timbalan Perdana Menteri 1. Status terkini adalah dalam proses menentukan skop dan brif projek daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP),” katanya.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah memberi kelulusan awal bagi menaiktaraf surau pada 5 Disember 2022 di Majlis Penerahan Suratan Hak Milk Peneroka Felda Selendang 2 melibatkan nilai kelulusan sebanyak RM500,000. -PAHANGMEDIA

