Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 22 NOVEMBER 2023 : Seramai 6,816 orang pelajar sekolah di sekitar daerah Kuantan menerima bantuan tunai Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster SPM dan STPM membabitkan peruntukan sebanyak RM681,600 untuk tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Haji Sharif berkata, bantuan tersebut adalah sebagai tanda prihatin dan cakna Kerajaan Negeri Pahang kepada rakyat di negeri ini.
“BPP ini telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail untuk memberi bantuan kepada kluster-kluster tertentu, khas untuk mengurangkan beban rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster SPM dan STPM 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, hari ini.

Turut hadir ialah ADUN Kawasan Semambu, YB Chan Chun Kuang dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Tuan Azman Abdul Latif.
Jelasnya lagi, inisiatif-inisiatif kerajaan negeri ini dilihat amat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang kian meningkat dan beliau juga yakin bahawa rakyat akan dapat menilai kebaikan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pahang.
“Ini kali pertama di daerah Kuantan sebagai permulaan, kita belum pernah buat di peringkat negeri (Kluster SPM, STPM) lagi, tapi Alhamdulillah inisiatif kerajaan negeri amat-amat baik, semoga dengan kebaikan ini dapat dihargai oleh rakyat oleh semua peringkat.
“Inilah antara kebaikan-kebaikan kerajaan negeri untuk kita berikan kepada semua peringkat (seperti) sekolah, petani, pelajar universiti, ibu tunggal, veteran dan banyak lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar penjaga, ibu bapa dan guru sentiasa memberi panduan untuk para pelajar memanfaatkan wang bantuan tersebut contohnya menggunakannya untuk kelengkapan persekolahan dan perbelanjaan harian.
Seramai 212 orang pelajar di SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan menerima sumbangan tunai berjumlah RM100 bagi kluster SPM dan STPM, hari ini.– PAHANGMEDIA

