Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
CAMERON HIGHLANDS, 10 NOVEMBER 2023 : Penjawat awam seharusnya menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pencerobohan tanah secara haram yang berlaku di daerah Cameron Highlands.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak kerajaan tidak mahu aktiviti pencerobohan haram ini menjadi ‘duri dalam daging’ terhadap kemajuan negeri yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang.
“Saya juga berharap agar tuan-tuan dan puan-puan tidak bersekongkol atau bersubahat dengan penceroboh ini.
“Dan sekiranya saya dapati ada dalam kalangan tuan-tuan dan puan-puan yang melakukan pekerjaan haram ini, maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang paling tegas termasuk mengheret pengkhianat ini ke muka pengadilan.
“Selain itu, pada tahun ini Kerajaan Negeri tidak lagi mengenakan kompaun terhadap mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan secara haram, sebaliknya mereka yang didapati menceroboh akan terus dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Apresiasi Pejabat Daerah Dan Tanah Cameron Highlands dan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) Tahun 2021 dan 2022 yang berlangsung di Hotel Rossa Passadena, Brichang, Cameron Highlands.
Hadir sama ialah YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB. Encik Ho Chi Ying, Pegawai Daerah Cameron Highlands, YBhg. Tuan Syed Ahmad Khirulanwar AlYahya Syed Abdul Rahman, Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, YBhg Encik Azmil Hadid Maznan, ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.
Pada majlis itu seramai 50 penerima anugerah dengan 18 daripadanya adalah penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Penerima Penghargaan Pencen seramai 10 orang dan 22 penerima pula telah dianugerahkan Penghargaan Bertukar Jabatan.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, langkah tegas oleh kerajaan ini adalah bertujuan memberi ingatan dan pengajaran kepada semua pihak agar tidak menceroboh tanah kerajaan dengan sewenang-wenangnya. – PAHANGMEDIA

