Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 10 NOVEMBER 2023 : Seramai 171 mahasiswa DUN Jelai telah menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa/Siswi yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa / Siswi Dan Kluster Pertanian Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Kerpan di sini hari ini.
Kesemua mereka telah menerima bantuan BPP berjumlah RM300 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan BPP bagi kluster itu bernilai RM51,300.
Seorang siswa Diploma Pengurusan Perladangan daripada UiTM Jengka, Afif Jazimin Abdul Rahman, 20, menyifatkan bantuan yang diterima ini sebagai tanda prihatin Kerajaan Pahang terhadap golongan siswa sepertinya dan rakan-rakan yang sangat memerlukan bantuan kewangan sepanjang tempoh pengajian.

Justeru, dia sangat berterima kasih dan gembira di atas pemberian BPP Kluster Siswa/Siswi yang dapat meringankan bebanan keluarganya terutama bagi menampung keperluan harian di IPTA.
“Saya hendak mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang sebab beri bantuan ini kepada saya, Pelajar Universiti Teknologi MARA,” katanya.
Bagi rakannya daripada Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Muhamad Iqbal Safwan Azahari, 24, dia yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Kepolisan, Keselamatan Global dan Risikan sangat menghargai bantuan yang diperlukan
“Saya rasa gembiralah sebab dengan bantuan ini dapat meringankan beban perbelanjaan di universiti,” katanya.

Pada majlis itu turut disampaikan BPP Kluster Pertanian kepada 170 penerima dengan jumlah RM34,000.
Turut menerima sumbangan ialah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kuala Lipis berjumlah RM30,000 dan sebuah motosikal telah diberikan kepada Kopral Hamidun Haji Kamis.
Selain itu, seramai 25 orang telah menerima cek sumbangan Kerajaan Pahang melibatkan peruntukan berjumlah RM152,330 manakala seramai 13 pengerusi JPKK Jelai telah menerima sumbangan RM10,000 bagi setiap JPKK dengan kos keseluruhan RM130,000.
Pada majlis sama, dua peserta gantian Agropolitan Gahai turut menerima surat tawaran dan kunci rumah bagi projek berkenaan. – PAHANGMEDIA

