Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
MELAKA, 02 NOVEMBER 2023 : Festival Warisan dan Pelancongan Lintasan Budaya Melaka-Pahang 2023 bertujuan untuk menyatukan kekayaan warisan budaya di antara Negeri Pahang dan Melaka.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kedua-dua negeri ini kaya dengan warisan yang melibatkan kesenian, tarian tradisional, muzik dan juga makanan.
“Menyentuh mengenai Festival Warisan dan Pelancongan Lintasan Budaya Melaka-Pahang 2023, patik berpandangan ia merupakan satu program yang amat bermakna, di mana ia secara langsung memberi peluang kepada kedua-dua negeri untuk menyatukan kekayaan warisan budaya yang melibatkan kesenian, tarian tradisional, muzik dan juga makanan.

“Sebagai contohnya di Pahang kami mempunyai Tarian Gamelan, Tarian Piring dan Tarian Labi-Labi, Gendang Pahang, Joget Pahang serta masakan Ikan Patin Tempoyak dan Asam Rong.
“Menerusi festival ini juga, ia merupakan satu platform di mana kita dapat mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan menarik di kedua- dua negeri kepada rakyat jelata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika persembahan ucapan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Festival Warisan dan Pelancongan Lintasan Budaya Melaka-Pahang 2023 di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka.
Turut hadir, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Rostam, dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira Dr. Hajah Asmah Abd Rahman; Mantan Tuan Yang Terutama Negeri Melaka yang juga Mantan Menteri Besar Pahang, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd. Khalil Yaakob; YAB. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari; barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Beliau berkata pengukuhan sektor pelancongan kedua-dua buah negeri ini juga dapat dilihat melalui perkaitan sejarah sejak abad ke-13 Masihi.
“Sesungguhnya Pahang dan Melaka mempunyai kaitan sejarahnya terutamanya bagaimana hubungan antara kedua-duanya telah terbentuk sejak abad ke-13 Masihi lagi.
“Malah, di dalam buku Sejarah Melayu dan juga Hikayat Hang Tuah, telah tercatat, di mana kedua-dua kerajaan ini saling melengkapi antara satu sama lain terutamanya dalam aspek hubungan politik, perdagangan, pertahanan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, menurut Datuk Seri Utama Ab Rauf, program silang budaya ini juga bertujuan bagi memartabatkan seni, budaya serta warisan kedua-dua buah negeri yang memiliki hubungan sejarah yang sangat rapat sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi.
“Bagi terus memperkasa hubungan sejarah yang sedia terjalin antara Melaka dan Pahang, saya berharap penganjuran festival yang julung kali ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang.
“Hal ini bagi memastikan kesinambungan hubungan sejarah, seni, budaya dan warisan di antara kedua-dua buah negeri terus kekal terpelihara.
“Sepanjang penganjuran ini, pelbagai pengisian acara disusun, seperti pameran dan jualan produk warisan Melaka dan Pahang, demostrasi permainan tradisional, persembahan kebudayaan Melaka dan Pahang serta banyak lagi,” katanya dalam persembahan ucapan. -PAHANGMEDIA

