Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 20 OKTOBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya rakyat negara ini mengadakan solat hajat bagi mendoakan rakyat di Palestin sempena hari Jumaat ini.
Baginda bertitah solat hajat ini diadakan bagi mendoakan supaya tanah Palestin dapat dipertahankan khususnya Masjid Al-Aqsa.
“Di hari Jumaat saya harap kita semua melakukan sembahyang hajat dan mendoakan kepada Allah SWT supaya rakyat Palestin dan bumi Palestin dapat dipertahankan khususnya kawasan Masjid Al-Aqsa.
“Di sini saya harap dan menyeru semua rakyat Malaysia dan negeri Pahang supaya kita terus mendoakan kepada Allah SWT supaya rakyat Palestin ini akan terus dipelihara dan tahap semangat yang tinggi dan terus mempertahankan semangat mereka,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Replika Kunci Rumah Ru’RASA di Kampung Pahang Tua hari ini.
Mengiringi keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda, anakanda YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Seri Paduka Baginda turut bertitah supaya semua rakyat turut menghulurkan bantuan sekadar yang termampu tanpa mengira jenis bantuan kepada rakyat Palestin.
“Sekadar mana yang kita mampu, kita bantulah. Memberi sedikit bantuan dari segi kewangan, dari segi peralatan, dari segi pakaian.
“Supaya ia dapat meringankan bebanan yang dirasai oleh rakyat Palestin. Dan saya percaya Allah akan sentiasa memberi rahmat kepada mereka semua ini,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

