Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 20 OKTOBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya penerima rumah Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’Rasa) tidak menjual rumah yang diterima mereka.
Baginda turut bertitah supaya pihak bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada pihak Pejabat Tanah dan Daerah serta Pejabat Sultan sekiranya penerima tidak mempunyai waris.
“Saya nak ingatkan penghuni untuk menjaga rumah ini sebaik mungkin. Jangan fikir nak jual ke (rumah Ru’RASA), nak sewakan ke rumah ini.
“Kalau tak ada waris, harap dapat kontak Pejabat Daerah atau Pejabat Sultan untuk maklumkan status kepada mereka. Penghulu dan ketua kampung kena bertanggungjawab pada hal ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Replika Kunci Rumah Ru’RASA di Kampung Pahang Tua hari ini.
Seri Paduka Baginda yang berangkat tiba pada 11.17 pagi dengan memandu kenderaan sendiri diiringi anakanda YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.
Seri Paduka Baginda berkenan mencemar duli mengurniakan 16 replika kunci kepada penerima rumah Ru’Rasa di daerah ini di mana dua telah pun siap dibina dan boleh didiami. -PAHANGMEDIA

