Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 19 OKTOBER 2023 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK ) disaran agar berkongsi inovasi dan teknologi antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pahang.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaacob berkata, beliau yakin bahawa hasil perkongsian inovasi itu dapat meningkatkan perkhidmatan setiap PBT kepada masyarakat setempat.
“Saya fikir sudah tiba masanya MBK berkongsi (inovasi dan teknologi) dengan majlis-majlis (daerah) yang lain daerah atau PBT lain sebab banyak menda-menda yang baik yang mereka telah cipta dan perkenalkan yang MBK sahaja pakai.

“Walhal sebagai PBT saya fikir semua majlis sama ada majlis perbandaran atau majlis daerah boleh guna pakai apa yang telah dicipta oleh MBK ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Cabaran 100 Inovasi Tahun 2023 Majlis Bandaraya Kuantan di Dewan Kompleks Bandaraya Kuantan hari ini.
Hadir sama ialah Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin dan semua pegawai dan kakitangan MBK.
Cabaran terbabit menyaksikan 100 inovasi dipertandingkan melibatkan 72 kumpulan daripada seluruh kakitangan MBK melibatkan empat kategori iaitu Pengurusan, Mekatronik, Sosial dan revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0)
Dato’ Sri Zulkifli berharap agar inovasi yang dihasilkan dapat disebar luas kepada masyarakat setempat sekaligus dapat meningkatkan kecekapan dalam pengurusan.
Sementara itu, Dato’ Razihan memaklumkan sebahagian besar produk inovasi yang dihasilkan daripada cabaran 100 inovasi sejak 2010 masih kekal relevan dan masih digunakan pakai dan ditambah baik sehingga kini. – PAHANGMEDIA

