Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 19 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang telah berhubung dengan pihak Kedutaan Malaysia di Myanmar bagi urusan membawa pulang jenazah Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab yang meninggal dunia ketika dalam tahanan imigresen di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar pada 14 Oktober lalu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang telah menghubungi pihak kedutaan dan mereka bersetuju untuk membantu Kerajaan Negeri bagi membawa pulang jenazah Allahyarham.

“Bagi memudahkan urusan pengurusan, YAB Menteri Besar meminta saya bersama YB Sim menyampaikan sedikit sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM25,000 dan juga sedikit (sumbangan) daripada Yayasan Pahang bagi memudahkan urusan apa-apa yang perlu dibayar untuk membawa jenazah ini pulang,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan RM25,000 kepada keluarga Allahyarham Muhammad Izzat di Kampung Peramu, Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, selepas jenazah tiba di Malaysia, segala urusan pengebumian akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Sementara itu, YB. Encik Sim Chon Siang, jenazah Allahyarham Muhammad Izzat kini dalam perjalanan ke Yangon dari sebuah hospital di Tachileik di Myanmar.

“Bila bawa ke Yangon dan kita perlu uruskan jenazah dan dokumen dengan Kerajaan Myanmar, kita jangka 27 Oktober jenazah akan sampai ke Malaysia, kita harap dan kita doakan,” katanya.
Allahyarham Muhammad Izzat meninggalkan seorang isteri, Puan Nurul Diyana Mohd Shukri, 27, dan dua anak, Muhammad Nu’man Muhammad Izzat, 6, dan Muhammad Naqib Muhammad Izzat, 4.
Pada kejadian 7 Oktober lalu, Allahyarham Muhammad Izzat menaiki pesawat dari Kuantan ke Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Bangkok selama tiga hari bagi mendapatkan alat ganti kenderaan tetapi tidak pulang.
Menurut Puan Nurul Diyana, kali terakhir beliau berhubung dengan suaminya menerusi aplikasi Whatsapp pada 11 Oktober lalu sebelum berhubung dengan YB. Encik Sim Chon Siang. – PAHANGMEDIA

