Oleh : Fara Rosli
Foto : Radin Mohd Norhilmi
LIPIS, 19 OKTOBER 2O23 : Perancangan pembangunan di Negeri Pahang bukan sahaja berada pada tahap yang memberangsangkan malah ianya dilihat dapat menjadi contoh kepada rancangan pembangunan di negeri-negeri yang lain.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, PLANMalaysia Pahang dengan kerjasama 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang telah melancarkan Manual Piawaian Perancangan Negeri Pahang Edisi 2.0 untuk rujukan kepada semua pihak dalam usaha melaksanakan penambahbaikan perancangan pembangunan negeri Pahang.

“Saya berharap semua stakeholders merujuk kepada dokumen ini dalam setiap perancangan dan pembangunan tanah yang akan dilaksanakan. Manual ini merupakan kompilasi piawaian perancangan, garis panduan dan segala aspek perundangan yang berkuatkuasa di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Pahang 2023 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Arif; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia, TPr. Tuan Haji Hassan Yaakob; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa Long; Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim; serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa bangga terhadap momentum yang ditunjukkan oleh semua pihak di negeri ini yang berjaya menjadikan daerah masing-masing berada di tahap yang memuaskan.
“Saya juga mengucapkan tahniah kerana boleh dikatakan 11 daerah termasuk Tioman, dimaklumkan telah menunjukkan prestasi yang sangat baik untuk menjadi bandar mampan, saya harap mereka akan dapat teruskan usaha-usaha begini, insya-Allah Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa membantu,” ujarnya. – PAHANGMEDIA

