Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 1 OKTOBER 2023 : Kerajaan Barisan Nasional dilihat berada pada landasan sasarannya meskipun tempoh berkempen berbaki kurang seminggu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.36 Pelangai.
Calon Barisan Nasional, Dato’ Amizar Abu Adam berkata, beliau yang bertanding mewakili parti tersebut memaklumkan tahap kesiapsedian mereka kini di peringkat optimum untuk menghadapi pilihan raya pada 7 Oktober depan.
“Alhamdulillah saya nampak setiap kali kita turun ke lokasi-lokasi yang kita ingin jejaki, penerimaan kepada Barisan Nasional (BN) sangat tinggi, dan nampak rata-ratanya kita dapat mengenali pengundi-pengundi dengan lebih dekat, mereka menunjukkan pandangan yang positif terhadap BN pada kali ini,” jelasnya ketika ditemui pemberita pada Karnival Sukan Rakyat di Kampung Shafie, hari ini.
Karnival sukan yang dianjurkan Kerajaan Negeri Pahang itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat di semua peringkat umur terhadap kepentingan menjaga kesihatan.
Hadir sama Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal; Timbalan Menteri Kewangan 1, YB Dato’ Sri Ahmad Maslan; Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; serta pemimpin setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata Barisan Nasional turut menerima maklum balas positif dan sokongan padu daripada kaum bukan Bumiputera di kawasan Pelangai.
“Ini lagi satu perkara yang sangat baik dan positif, iaitu apabila kita bertemu dengan warga bukan bumiputera, termasuklah Orang Asli, Cina dan India, mereka sangat menantikan dan sangat bersetuju untuk mengundi Barisan Nasional,” katanya.-PAHANGMEDIA

