Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 28 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Negeri tidak membuat sebarang proses lantikan baharu bagi beberapa jawatan lantikan Kerajaan Negeri.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini merupakan satu tuduhan liar yang dilemparkan oleh calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai, Haslihelmy DM Zulhasli.
“Setakat ini semua kedudukan JKKK, ahli-ahli majlis kita masih teruskan, kita belum buat lantikan baharu ini. Jadi macam mana dia boleh buat tuduhan 30 peratus untuk DAP dan sebagainya. Ini satu tuduhan liar.
“Ini yang saya katakan mereka menimbulkan persepsi, fitnah dan mana-mana rakyat yang tidak berfikir dua kali akan terperdaya dengan mereka. Tuduhan 30 peratus ini adalah satu reka cipta, satu tuduhan dengan tujuan supaya rakyat percaya dengan tuduhan beliau dan mewujudkan suasana dan perasaan tidak puas hati di kalangan sesama kita.
“Jadi selaku Kerajaan Negeri kita akan bincang perkara ini bila sampai masanya. Tetapi oleh sebab setakat ini ahli-ahli majlis berjalan seperti biasa, belum ada lantikan baru, kita teruskanlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Gotong-royong Rumah Kelab Daya Budi di Kilang Sawit Felda Kemasul hari ini.
Sebelum itu, calon bebas mendakwa Pakatan Harapan Pahang menuntut 30 peratus kuota jawatan lantikan Kerajaan dan sedang berada di peringkat rundingan buat masa ini.
Sementara itu, mengulas berkenaan ketiadaan lampu jalan dari Felda Kemasul ke Felda Kemahal, beliau berkata beliau secara peribadi akan memberi perhatian segera berkenaan masalah ini.
“Saya pun mendapat aduan sebegitu dan kita mengambil tindakan, kita cuba percepatkan tetapi sekiranya tidak dapat disiapkan sebelum 7 Oktober ini, ianya akan diteruskan. Saya sendiri akan menberi perhatian segera berhubung dengan perkara ini.
“Sepanjang kita berada di sini banyak masalah-masalah yang telah kita selesaikan dan ini adalah bertujuan yang kita rasa dalam jangka masa pendek yang tidak memerlukan peruntukan yang banyak kita telah selesaikan dan begitu juga di tempat lain,” katanya. -PAHANGMEDIA

