Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 23 SEPTEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya menambahbaik pengurusan mahkamah syariah bagi menambah kewibawaan sistem perundangan Islam di negara ini.
Seri Paduka Baginda bertitah ia turut meliputi pemerkasaan kedudukan hakim dan peguam syarie bagi memastikan perkara ini tercapai.
“Selain itu, mahkamah syariah juga mestilah bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam membuat keputusan terutamanya di dalam menyelesaikan kes-kes kekeluargaan dan jenayah syariah.
“Hakim-hakim syarie, pegawai mahkamah, dan peguam syarie turut juga bertanggungjawab secara kolektif dalam memastikan prosiding mahkamah berjalan lancar,” titah baginda ketika bercemar duli memashyurkan Mahkamah Syariah Bera hari ini.

Turut bercemar duli, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.; dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; barisan exco Kerajaan Negeri Pahang; dan Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Seri Paduka Baginda dalam titah perasmian turut menekankan kepentingan konsep Sulh atau konsep perdamaian yang merupakan salah satu elemen penting dalam sistem kehakiman Islam.

“Saya telah disembah maklum akan keberkesanan konsep Sulh atau perdamaian yang telah berupaya dalam menyelesaikan kes-kes kekeluargaan.
“Sebanyak 85 peratus daripada kes-kes Sulh yang didaftarkan di mahkamah syariah seluruh negara sejak tahun 2019 hingga 2022 berjaya diselesaikan secara damai melalui prosiding Sulh tanpa melalui proses perbicaraan,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda mahkamah syariah merupakan sebuah institusi menegakkan keadilan berlandaskan perundangan Islam yang tidak memberi keistimewaan kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan.
“Dalam melaksanakan keadilan menurut syariat Islam, mahkamah syariah hendaklah berpegang kepada firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa ayat ke 135.
“Menerusi ayat tersebut keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sama ada diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahupun ibu dan bapa,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah bagunan Mahkamah Syariah Bera yang siap di bina pada 23 Jun 2016 dengan peruntukan RM6.5 juta adalah bukti jelas kepada pembangunan syiar Islam di negeri ini.
“Saya percaya bangunan Mahkamah Syariah Bera yang sempurna terbina ini bakal memainkan peranan yang besar dalam mentadbir undang-undang Islam khususnya di daerah Bera ini.
“Saya berharap agar lebih banyak lagi usaha dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memperkasa institusi mahkamah syariah dan lain-lain institusi agama Islam di Malaysia,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

