Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN 30 JUN 2020: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) Chini hari ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila berlangsung dalam suasana pandemik COVID-19.
Proses pengundian yang membabitkan 18 pengundi awal dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Balai Polis Chini di sini.


Pegawai Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK Chini, YH Dato’ Zaliza Zulkifli turut meninjau proses pengundian yang bermula jam 8 pagi.
YH Dato’ Zaliza ketika ditemui media berkata, beliau berpuas hati dengan proses pengundian awal hari ini dan berharap hari mengundi nanti keadaan adalah sama.


“Pada pagi tadi kita melihat proses pengundian awal berjalan lancar dan jumlah pengundi yang berdaftar sebagai pengundi awal di Balai Polis Chini adalah seramai 18 orang.
“Proses pelaksanaan mengundi awal dan ia berjalan dengan lancar dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh peraturan-peraturan pilihan raya dan SOP yang ditetapkan,” katanya di sini.
PRK DN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lepas akibat serangan jantung.
Pada PRU14, Allahyarham Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan Mohd Fadhil Noor (PAS) yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi. – PAHANGMEDIA