Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 SEPTEMBER 2023 : Seramai 478 graduan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dianugerahkan ijazah dan diploma pada Istiadat Konvokesyen Ke-20 UnIPSAS yang berlangsung di Dewan Cashmere, Hotel Zenith di Kuantan.
Istiadat tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pro-Canselor 1 UnIPSAS, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaacob, YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, Exco Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz dan Naib Canselor UnIPSAS, YH. Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Pada Istiadat Konvokesyen itu, mantan YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Institusi Islam.
Beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kerana jasa dan sumbangan beliau terhadap perkembangan institusi Islam di Negeri Pahang.
Pada majlis berprestij UnIPSAS itu turut dianugerahkan Anugerah Sultan Ahmad Shah kepada graduan Diploma In English, Muhammad Daniel Irfan Ismail.
Manakala Graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Kepujian), Aisyatul Farihah Ahmad Zahiruddin pula dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Naib Canselor.
Tiga graduan menerima Anugerah Kecemerlangan Dekan, 10 graduan menerima Anugerah Kecemerlangan Jabatan, tiga graduan dianugerah Anugerah Kecemerlangan Yayasan Pahang dan dua graduan menerima Anugerah Kecemerlangan MUIP manakala dua graduan menerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum bagi kategori lelaki dan wanita.
Menurut Naib Canselor UnIPSAS, YH. Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin, sejak tahun 1999 sehingga kini, UnIPSAS telah melahirkan seramai 6,968 graduan.
Beliau berkata, lawatan delegasi Kerajaan Negeri yang diketuai oleh YAB Menteri Besar Pahang ke Mesir baru-baru ini menjadi satu titik permulaan kepada UnIPSAS apabila diterima sebagai ahli Kesatuan Universiti-Universiti Islam sedunia.
Malah, UnIPSAS menerusi Memorandum of Understanding (MoU) dengan Universiti Al-Azhar, Mesir pada Mei 2023 yang lalu telah menerima keistimewaan yang membolehkan graduan lepasan Diploma UnIPSAS untuk menyambung pengajian di Mesir dan diterima terus untuk masuk ke tahun 3 di sana tanpa perlu memperbaharui pengiktirafan (mu’adalah). – PAHANGMEDIA

