YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

KERAJAAN PAHANG TUBUH SEKRETARIAT PERANTAU ANAK PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 1 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang telah bersetuju menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang yang berpusat di Kuala Lumpur.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu hantaran di laman Facebooknya berkata, keputusan telah dibuat selepas perbincangan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada Rabu lalu.

“Penubuhan sekretariat yang dijangka akan beroperasi pada Oktober 2023, bertujuan sebagai pusat sehenti atau ‘one stop center’ bagi mengkoordinasi program-program bantuan seperti Bantuan Prihatin Pahang (BPP) serta aktiviti-aktiviti perantau anak Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekretariat itu juga akan menjadi penghubung serta membantu Kerajaan Negeri membuat perancangan dari segi kebajikan dan pembangunan rakyat Pahang yang berada di luar dari Negeri Pahang.

“Oleh itu, saya amat berharap kerjasama antara Kerajaan Negeri Pahang dan perantau anak Pahang akan terjalin dengan lebih erat untuk kebaikan bersama,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram