YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika hadir pada Majlis Amanat Hari Kebangsaan 2023 Kepada Penjawat Awam Oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim Secara Maya di Auditorium RTM, di sini hari ini.

PERPADUAN PERLU MENJADI TERAS KEPADA RAKYAT

Oleh : Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 30 OGOS 2023 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa perpaduan haruslah diterapkan dan perlu menjadi teras dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, negara sudah ditakdirkan dalam keadaan masyarakat majmuk dan semua rakyat perlu bersatu padu.

“Perpaduan mestilah menjadi teras wajib, sebab itu ada ‘Unity Government’, kita mahu kearah kerajaan perpaduan. Kita ada pelbagai etnik, jadi haruslah menghormati antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Amanat Hari Kebangsaan 2023 Kepada Penjawat Awam Oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim Secara Maya di Auditorium RTM, di sini hari ini.

Turut hadir, YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, barisan Exco Negeri Pahang serta ketua-ketua jabatan.

Menurut beliau, amanat YAB Perdana Menteri sangat jelas dan sebagai rakyat Malaysia harus mendalami merdeka dalam erti kata yang sebenar.

“Kita mahu satu bangsa Malaysia yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak, kita mahu bergerak sendiri dalam erti kata kemerdekaan yang sebenarnya. Kita haruslah bebas dari segenap segi, bukan sahaja fizikal tetapi jiwa dan mental,” tambahnya lagi.

Majlis amanat tersebut dipancarkan langsung dari PICC Putrajaya yang turut dihadiri secara maya oleh barisan kempimpinan dan penjawat awam negeri seluruh Malaysia. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram