Oleh: Farahin Rosli & Fairus Mohd
BENTONG, 30 OGOS 2023 : Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun sangat menitikberatkan peluang pekerjaan untuk belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai ketika beliau menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Malah Allahyarham Dato’ Sri Johari sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan termasuk salah satunya beliau pernah memanggil perunding pertanian untuk berbincang bagi melaksanakan beberapa projek di kawasan ini.

Menurut Muhammad Aiman Hakim Mahdzar, 22, golongan belia di kampungnya tidak pernah diabaikan oleh Allahyarham malah beliau sentiasa sentiasa cakna perihal anak muda terutamanya dalam menyediakan peluang pekerjaan.
“Saya baru nak menceburi bidang penternakan kambing. Sebelum ini saya buat kerja sambilan pasang penghawa dingin di luar kampung, saya balik ke kampung semula saya berminat nak mencuba bidang baru, memang Allaharyam banyak membantu sebelum ini,” katanya.

Bagi seorang usahawan, Ahmad Muaz Aminuddin, 23, turut meluahkan harapan agar wakil rakyat yang akan datang dapat merealisasikan hasrat Allahyarham Dato’ Sri Johari yang tidak kesampaian demi pembangunan golongan belia di kawasan Pelangai.
“Sektor IKS untuk bidang pertanian dan penternakan perlu diperluaskan di kawasan tersebut kerana golongan belia Pelangai dilihat berpotensi untuk melibatkan diri secara serius jika bantuan dari segi modal, tanah, dan kursus diwujudkan,” katanya.

Pelajar tahun pertama jurusan seni bina di Universiti Malaysia Kelantan, Faqihuddin Mohd Rahalim, 23, berkata, bidang pertanian di Pelangai sangat berpotensi membuka peluang pekerjaan di kawasan tersebut.
“Di kampung ini, boleh dikatakan tanah banyak. Pendapat saya, anak muda boleh cebur bidang pertanian dan berpeluang mempunyai masa depan cerah,” katanya.-PAHANGMEDIA