Puan Norziana Abd Karim bersama anaknya Muhd Amar Raizo Mohd Radzi, 11, yang mempunyai masalah kegagalan buah pinggang sejak berusia 4 tahun dan memerlukan rawatan dialisis secara berkala.

“ALLAHYARHAM DATO’ SRI JOHARI YANG TOLONG DAPATKAN RUMAH INI”

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Najmuddin Zahid

BENTONG, 29 OGOS 2023 : “Dulu saya susah, tak ada rumah, arwah Dato’ (Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun) yang tolong dapatkan rumah ni,” itu kongsi ibu tunggal, Puan Norziana Abd Karim dari PPRT Kampung Ampang di sini.

Puan Norziana, 42, merupakan ibu kepada Muhd Amar Raizo Mohd Radzi, 11, yang mempunyai masalah kegagalan buah pinggang sejak berusia 4 tahun dan memerlukan rawatan dialisis secara berkala.

Puan Norziana berkata, allahyarham Dato’ Sri Johari membantu keluarganya dan orang kampung sebelum menjadi wakil rakyat di kawasan Pelangai lagi.

“Dato’ Sri tolong bayarkan bil saya untuk masuk api air. Banyak dia tolong saya. Ini sebelum Allahyarham jadi wakil rakyat lagi. Arwah Dato’ tolong banyak saya, anak saya, dia orang baik.

“Anak saya sakit, dia tolong. Kami dengan Dato’ agak rapat, kalau dia datang (ke Simpang Pelangai), dia akan datang melawat, jumpa Amar.

“Setiap kali anak saya sakit, pergi hospital, dia akan tolong, bagi sumbangan semua. Dulu saya pernah terputus bekalan untuk air (dialisis) anak saya, tertangguh untuk sebulan, arwah Dato’ tolong. Tak kisah apa-apa pun mesti dia akan tolong,” kongsinya ketika ditemui di rumahnya.

Katanya lagi, Allahyarham membantu rakyat di DUN Pelangai bukan disebabkan mahukan undi tetapi kerana sifatkan yang amat prihatin terhadap nasib rakyat.

“Dia (allahyarham Dato’ Sri Johari) tolong orang dekat sini bukan sebab nak pilihan raya tapi sebelum tu lagi dia dah tolong. Maknanya tahun-tahun sebelum lagi dia memang dah tolong orang dekat sini,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini juga berkata allahyarham Dato’ Sri Johari juga memberi bantuan modal permulaan bagi menjalankan perniagaan dodol secara kecil-kecilan.

“Saya meniaga dodol, kecil-kecil sahaja. Modal pun arwah Dato’ yang bagi RM1,000. Saya ingat lagi, arwah Dato’ cakap dengan saya, sampai bila nak harap bantuan ni, awak kena usaha sendiri sebab awak ada anak-anak, ibu tunggal,” kongsinya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

This will close in 0 seconds