YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menerima Cek Cura Peruntukan Kerajaan Persekutuan Bagi Bayaran Elaun Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA Negeri Pahang Tahun 2023 daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.

PAHANG TERIMA PERUNTUKAN RM64.74 JUTA BAGI BAYARAN ELAUN IMAM, BILAL, GURU AGAMA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUALA LUMPUR, 29 OGOS 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah menerima RM64.74 juta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir, dan guru KAFA bagi tahun 2023.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas peruntukan yang diterima.

“Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memberi peruntukan hampir RM65 juta kepada semua guru-guru KAFA, imam masjid, termasuk bilal.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Dalam perjumpaan tadi juga kita mengutarakan beberapa perkara terutamanya dalam memajukan masyarakat Orang Asli kita minta ditambahkan lagi (penggerak Orang Asli).

“Kemudian minta dipertimbangkan juga kontrak Off Servis, For Servis supaya pihak JAKIM dapat memberi pertimbangan. Ini adalah kerja-kerja yang kita rasakan patut kita bagi pertimbangan kepada pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di Pahang di bawah JAKIM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Kerajaan Persekutuan Bagi Bayaran Elaun Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA Negeri Pahang Tahun 2023 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBrs. Tuan Haji Ruslan Said dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali.

Beliau turut menyatakan Kerajaan Pahang telah memberi persetujuan untuk bekerjasama dengan pihak JAKIM bagi memantapkan institusi pendidikan agama serta kontrak perkhidmatan bersama guru.

“Itu satu pandangan yang sangat baik (kerjasama bersama JAKIM bagi institusi pendidikan) dan kita akan beri kerjasama yang baik dan pengarah JAIP pun akan uruskan perkara ini dan kita bersetuju.

“Begitu juga dengan kontrak perkhidmatan bersama di mana Kerajaan Negeri Pahang bersetuju kerana ini kita dapati mendatangkan banyak faedah dan kebaikan kepada pekerja-pekerja. Kontrak perkhidmatan bersama ini maknanya mereka boleh bertukar, kemudian ada peluang kenaikan pangkat kalau tidak dia stagnant sahaja,” katanya.

Kerajaan Persekutuan memperuntukan RM14,188,200 bagi Imbuhan Imam; RM40,292,564.40 bagi Elaun Guru KAFA; RM5,670,000 bagi Elaun Guru Takmir; RM3,757,200 bagi bayaran one-off RM600 kepada Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir Dan Guru KAFA; dan RM838,080 bagi caruman perkeso kepada imam, bilal, siak:noja/marbut dan guru takmir di Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

This will close in 0 seconds