Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 27 OGOS 2023 : Projek biogas kilang sawit Risda di sini yang dirasmikan hari ini mampu menjana 14.8 juta kilowatt-jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui dalam tempoh setahun.
YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata penghasilan tenaga dengan jumlah tersebut dapat memberi manfaat kepada 3,000 buah rumah.
“Ianya (tenaga boleh diperbaharui) boleh mengeluarkan tenaga dan dua enjin dapat melahirkan kira-kira 14.8 juta kilowatt setahun.
“Ini merupakan satu sumbangan tenaga tanpa menggunakan tenaga fosil, ertinya from waste to wealth daripada bahan buangan kepada kekayaan.
“Yang pentingnya adalah dari segi penduduk kawasan persekitaran itu juga bermanfaat dimana terdapat 3,000 isi rumah yang akan ada manfaatnya. Mengikut purata isi rumah adalah 5 orang satu rumah, sekurang-kurangnya 15,000 orang akan menerima faedahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Biogas Kilang Sawit Risda, di Ulu Keratong, hari ini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Risda, Dato’ Seri Noraini Ahmad; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Eksekutif Alliance Concord Green (ACG) Sdn.Bhd., Tan Sri Datuk Seri Mohd Hussin Abd Hamid.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, projek ini dapat memberi keuntungan sebanyak 11 peratus kepada Risda daripada keseleluruhan urusniaga dengan pendapatan sehingga RM90,000 sebulan.
“Manfaat projek ini yang pertamanya kita menukarkan sisa atau bahan buangan (sisa sawit) untuk menjadi tenaga yang diperbaharui.
“Keuntungannya kepada Risda yang membawa pulangan sebanyak 11 peratus daripada keseluruhan urusniaga atau turn over dan secara bulanan mereka akan memperolehi paling minima RM70,000 hingga ke RM90,000,” katanya.
Projek Biogas Kilang Sawit RISDA, Ulu Keratong ini adalah satu pencapaian oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan RISDA ke arah meralisasikan Aspirasi Negara Rendah Karbon menjelang tahun 2040 dengan usahasama daripada Alliance Concord Green Sdn. Bhd.
Pengeluaran minyak sawit menghasilkan sejumlah besar sisa iaitu Palm Oil Mill Effluent (POME) atau Sisa Kilang Minyak Sawit yang boleh memberi kesan negatif kepada alam sekitar jika tidak diurus dengan baik. – PAHANGMEDIA