Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 24 OGOS 2023 : Seramai 16,456 pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai terdiri daripada 16,417 pengundi biasa, 36 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dalam satu kenyataannya berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.36 Pelangai akan mula dijual pada 18 September 2023 (Isnin).
“Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 7218 / 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya.
PRK Dewan Negeri N.36 Pelangai ini memperuntukkan sebanyak RM2.1 juta dengan melibatkan seramai 312 petugas bagi mengendalikan proses PRK.
Menurutnya, keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 10 buah dengan 31 saluran membabitkan sembilan pusat mengundi biasa yang mengandungi 30 saluran dan satu pusat mengundi awal akan digunakan.
Beliau berkata, SPR juga telah menetapkan 23 September (Sabtu) sebagai Hari Penamaan Calon, 3 Oktober (Selasa) merupakan hari mengundi awal manakala 7 Oktober (Sabtu) adalah hari mengundi.
“Bagi urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi Dewan Negeri N.36 Pelangai dibuka bermula hari ini, 24 Ogos 2023 (Khamis).
“Manakala tarikh tutup permohonan adalah pada 19 September bagi kategori 1A (petugas SPR, polis, tentera dan petugas media), 2 September bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 5 September bagi kategori 1C (agensi/organisasi),” katanya.
SPR juga menawarkan mana-mana agensi Kerajaan atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berminat menjadi pemerhati pilihan raya boleh mendapatkan maklumat permohonan menerusi Portal SPR www.spr.gov.my mulai hari ini sehingga 7 September depan.
Sementara itu, Tan Sri Abdul Ghani berkata, bagi Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) pula akan diadakan di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul. – PAHANGMEDIA