Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Najmuddin Zahid
NILAI, 23 OGOS 2023 : “Sebenarnya saya sangat terkejut tapi dalam masa yang sama, saya rasa sangat gembira,” kongsi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Pahang, Tuan Haji Mohd Iqbal Hamdy.
Menurut Tuan Haji Mohd Iqbal Hamdy Mohd Rusdi, 54, yang menjadi ADUN 1999 sehingga 2004 berkata kunjungan dari YB. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin ini disambut dengan besar hati.
“Saya harap dapat diteruskan lagi program seperti ini dan kita sama-sama merapatkan silaturrahim.

“Saya juga ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih terutama kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar, serta kakitangan Dewan (Negeri Pahang) yang sudi datang ke rumah saya, mudah-mudahan Allah SWT membalas jasa tuan-tuan sekalian,” katanya yang baru dua minggu selesai menjalani rawatan pembedahan jantung.
Sementara itu, menurut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, program ziarah pada kali ini memfokuskan untuk melawat bekas wakil rakyat yang tidak sihat.
“Sebagai Yang Dipertua (Dewan Undangan Negeri Pahang) saya pergi berjumpa dengan rakan-rakan bekas-bekas ahli Yang Berhormat ini jadi kita bertanya khabar dan keperluan yang perlu ada.
“So kita sentiasa berhubung dengan mereka dan setakat ini kita dah melawat tujuh orang dan akan ada lagi selepas ini di mana kita utamakan mereka yang berada dalam keadaan rawatan dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau lagi, program ziarah ini juga dilakukan tanpa mengira bekas wakil rakyat tersebut pernah mewakili parti mana tetapi melihat kepada mereka yang pernah menjadi ADUN.
“Kita pergi (menziarah) itu kita kira siapa sahaja yang pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri, mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri dan dari segi saraan sama sahaja sama ada pembangkang atau kerajaan, sama sahaja.
“Jadi kita tak pilih siapa-siapa (untuk dilawati) dan saya sebagai Yang Dipertua Dewan, saya perlu berlaku adil, semua orang kita pergi (lawat) dan kita utamakan yang menerima rawatan, kurang upaya sedikit.
“Dan ada tiga lagi (bekas ADUN) yang berada dalam keadaan perlukan kita melawat. Yang lain-lain itu (bekas ADUN) sihat lagi. Yang sihat tu kita boleh jumpa bukan sahaja di rumah malah ditempat-tempat yang lain, keraian, jemputan, dan sebagainya, tetapi yang tidak sihat ini kita kena pergi ke rumah mereka,” katanya.
Program Ziarah Kasih Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang hari ini turut meluangkan masa menziarahi bekas ADUN Pulau Manis, YH. Dato’ Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, 67, di Kota Damansara, Selangor.
YH. Dato’ Mohd Ariff Sabri yang kini terlantar akibat strok pernah berkhidmat sebagai ADUN Pulau Manis mewakili Barisan Nasional pada 2004 sehingga 2008 sebelum menjadi Ahli Parlimen Raub mewakili parti DAP pada 2008 sehingga 2013. -PAHANGMEDIA