Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 23 OGOS 2023 : Hasrat untuk membangunkan Daerah Bentong khususnya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sebagaimana yang direncanakan oleh Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun akan diteruskan oleh Kerajaan Pahang dan barisan kepimpinan Daerah Bentong.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaacob berkata, cadangan pembangunan yang dihasratkan oleh Allahyarham Dato’ Sri Johari dianggap sebagai amanah yang perlu dilaksanakan.

“Kita akan meneruskan apa yang telah dihasratkan oleh beliau, apa yang telah disuarakan oleh beliau khususnya di dalam mesyuarat MMK atau pun di luar mesyuarat sekali pun insyaa-Allah kita akan teruskan juga dengan sedaya upaya dengan sebaiknya, kerana kita anggap itu sebagai amanatlah daripada Allahyarham kepada kami semua untuk ditunaikan dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat MMK di Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail berkata, pelbagai perancang pembangunan telah dibentangkan ketika mesyuarat pembangunam daerah termasuklah Rancangan Kawasan Khas (RKK) di Pelangai dengan menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat.

“Memang saya akan cuba laksanakan, saya akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan lain untuk cuba melaksanakan apa yang dihasratkan oleh Allahyarham, banyak contohnya di dalam DUN Pelangai sendiri, di Janda Baik kampung beliau, keseluruhan Bentong, banyak perancangan beliau, insyaa-Allah kita akan cuna satu persatu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Allahyarham Dato’ Sri Johari sentiasa menitikberatkan isu dan keperluan rakyat sebagai keutamaan di dalam agenda pembangunannya.
Jelasnya, Allahyarham juga merancang untuk mewujudkan satu bandar baharu di Pelangai dengan dilengkapi kemudahan perumahan dan meneruskan pembinaan CSR yang melibatkan jajaran Pelangai. – PAHANGMEDIA