Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 23 OGOS 2023 : Pas Pahang diminta supaya tidak gopoh dalam memberikan sebarang kenyataan politik berhubung pengisian kekosongan kerusi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai ekoran kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.
Ketua Penerangan UMNO Pahang, YB. Fadzli Mohd Kamal berkata, tindakan Pesuruhjaya Pas Pahang, YB. Tuan Haji Rosli Abdul Jabar yang memuatnaik satu hantaran di laman Facebook miliknya berbunyi “InsyaaAllah PN Pahang memburu kerusi ke-18” dilihat sebagai terburu-buru apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

“Pada saya kenyataan yang agak gopohlah dan nampak wajah sebenar PAS Pahang, kita selaku rakan exco, kita masih bersedih atas pemergian yang mengejut ini dan SPR pun tiada mengeluarkan apa-apa kenyataan lagi dan berilah masa.
“Ada saat dan ketika berpolitik, ada saat ketika kita menurut fitrah selaku makhluk atau hamba Allah di muka bumi ini, ada saat kita bersedih atas pemergiaan seseorang, hormatilah perasaan orang lain, hormati perasaan ahli keluarga, sahabat handai.
“Berpolitik berpolitiklah, tetapi tidak perlu gopoh sangat, kita nak tunjukkan apa sebenarnya, kita nak buktikan apa sebenarnya, biar rakyat menilailah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung hantaran berkenaan selepas beliau hadir pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di Majlis Perbandaran Bentong, hari ini. – PAHANGMEDIA