Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 22 OGOS 2023 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan 400,000 pengunjung hadir ke Pesta Buku Pahang 2023 di Dewan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, sebanyak 59 pempamer terlibat dengan pesta pada kali ini.
“Kita sasarkan seramai 400,000 pengunjung, agak besar sasaran ini tapi insya-Allah kita akan mencapai sasaran tersebut.
“Melihat pada (jumlah pengunjung) semalam dah hari ini, rasa kemungkinan akan tercapai sasaran pengunjung pada pesta kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Buku Pahang 2023 di Dewan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang berlangsung selama 6 hari sehingga 27 Ogos ini.
Turut hadir, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, YBhg. Puan Nor Zahira Muhammad Azmi.
Beliau turut berharap pesta buku seperti ini akan menjadi acara tahunan di negeri ini bagi meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Menurut beliau lagi, kebanyakkan pempamer yang terlibat di dalam pesta ini merupakan pempamer yang menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
“Pempamer yang hadir itu datang membawa pelbagai jenis buku daripada pelbagai genre termasuklah komik, buku ilmiah, selain Doktor Raihan yang membawa eksploria di mana ada makmal yang dapat menarik minat kanak-kanak,” katanya.
Beliau dalam ucapan perasmian mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pesta buku ini juga merupakan himpunan warisan dan budaya negeri Pahang.
“Pesta buku ini bukan sekadar pertemuan syurga pencinta tetapi juga sebagai himpunan warisan dan budaya di neger Pahang. Saya yakin bahawa pesta buku ini berperanan besar dalam memupuk semangat membaca, merangsang naluri cintakan buku yang membawa kepada peningkatan ilmu,” katanya.
Sementara itu, menurut Puan Nor Zahira, setakat semalam, seramai 5,000 pengunjung telah direkodkan hadir ke pesta buku ini dan pihaknya menjangkakan lebih ramai lagi akan hadir dalam tempoh 5 hari ini. -PAHANGMEDIA