Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 21 OGOS 2023 : Kerja menyiapkan kembali Projek Bekalan Air Nenasi dari Tanjung Agas ke Nenasi, Pekan telah mencapai tahap 34 peratus.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata kemajuan kerja sebenar projek telah selesai 9 peratus lebih cepat dari jadual.
“Kerja-kerja menyiapkan kembali Projek Bekalan Air Nenasi iaitu dari Tanjung Agas ke Nenasi sedang giat dilaksanakan kini.
“Laporan terkini kemajuan kerja sebenar projek ini yang turut melibatkan pembinaan semula Tangki Kampung Serun, Tangki Loji Rawatan Air Nenasi dan Tangki Sungai Miang serta lain-lain kerja telah mencapai tahap 34 peratus iaitu lebih cepat 9 peratus dari jadual asal kerja. Alhamdulillah.

“Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sentiasa memantau dengan serius bagi memastikan projek ini dapat disiapkan seperti dirancang sekaligus menyelesikan masalah bekalan air Nenasi iaitu dari Kg Api-Api, Tg Batu sehingga ke Merchong,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau lagi, projek ini menjadi perhatian utama beliau dan akan terus dipantau sehingga siap sepenuhnya dijangka pada 2024.
“Ini termasuk melaksanakan semula projek bekalan air Nenasi ini yang menelan belanja hampir RM19 juta dimana apabila siapnya projek ini ianya akan beri manfaat kepada lebih 2,500 akaun pengguna. RM65.25 juta telah diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan perkhidmatan bekalan air di seluruh Daerah Pekan.
“Jelaslah dengan peruntukkan yang amat besar ini membuktikan YAB Menteri Besar prihatin dan mahu melihat rakyat Pahang menikmati bekalan air bersih yang lebih sempurna pada masa hadapan.
“Selaku EXCO Kerajaan Negeri Pahang, Ahli Dewan Negeri Bebar serta Ahli Lembaga Pengarah PAIP, projek ini menjadi perhatian utama saya dan akan terus dipantau sehingga siap sepenuhnya dijangka pada 2024,” katanya.
Beliau berkata, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail amat prihatin dan memahami keperluan air bersih penting untuk rakyat.
“Untuk makluman, Projek Bekalan Air Nenasi telah diluluskan Perdana Menteri Ke-6, Dato’ Sri Najib Tun Razak dimana kerja-kerja mula dilaksanakan 2017. Projek ini telah siap hampir 80 peratus pada ketika itu namun ia terhenti selepas pertukaran kerajaan 2018 lalu.
“Masalah air beberapa kawasan di seluruh negeri ini perlu diatasi segera dan rakyat berhak nikmati bekalan air dengan lebih sempurna.
“Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah memperuntukkan RM2.3 bilion sebagai penyelesaian jangka masa panjang (Fasa Satu 2021-2026) meningkatkan sistem bekalan air di seluruh negeri melibatkan 217 projek penting,” katanya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pihak YAB Menteri Besar Pahang dan juga Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) diatas kerja pelaksanaan projek ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Pengurus PAIP Pekan, TS Ahmad Zuwairy bin Zainal Abidin diatas laporan terkini projek Bekalan Air Nenasi. Terima kasih juga buat Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari diatas segala usaha dan kerja keras yang telah dilaksanakan.
“Jutaan terima kasih juga buat YAB Menteri Besar Pahang yang meluluskan semula peruntukkan dan juga buat ayahanda kita, Dato’ Sri Najib Tun Razak diatas jasa-jasa beliau termasuk meluluskan projek ini yang dipohon oleh saya pada 2017. Kita doakan semoga segala usaha yang dilaksanakan Kerajaan Pahang sentiasa dipermudahkan Allah SWT,” katanya. -PAHANGMEDIA