Adlina Aisyah Ahmad Rusli, 41, menyiram air di pusara Allahyarham suaminya, Ustaz Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, salah seorang mangsa nahas pesawat

KERAJAAN PAHANG AMBIL BERAT KEBAJIKAN KELUARGA USTAZ IDRIS

Oleh : Shahrinnahar Latib

BENTONG, 20 OGOS 2023 : “Saya sendiri akan mencadangkan kepada YAB Menteri Besar untuk Kerajaan Negeri memberi penghargaan kepada beliau (Allahyarham Ustaz Idris),” itu kata Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal.

YB. Fadzli berkata, perkara itu akan dicadangkan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail untuk memberi penghargaan kepada keluarga Allahyarham Ustaz Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, malah Kerajaan Pahang akan mengambil berat kebajikan isteri dan anaknya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal.

“Saya sendiri akan mencadangkan kepada YAB Menteri Besar untuk Kerajaan Negeri memberi penghargaan. Kita dengar banyak kebaikan yang telah Allahyarham lakukan, jadi apa salahnya kita (Kerajaan Negeri) perhatian. Kita jaga kebajikan isteri dan anak-anaknya pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengebumian Allahyarham Ustaz Idris di Tanah Perkuburan Islam Barak, di Benus, hari ini.

Menceritakan mengenai Ustaz Idris beliau berkata, Allahyarham bukan sekadar kenalan dalam politik tetapi sahabat rapat yang sering berkongsi pandangan, selain kerap memberi teguran kepadanya bagi memperbaiki kelemahan dalam mentadbir sebagai EXCO Pahang.

“Saya sahabat baik dengan Deris (Allahyarham Idris). Dia banyak beri nasihat kepada saya terutamanya dalam politik nasional dan kawasan.

“Dia juga prihatin dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Pada kita ia perkara biasa, tapi pada dia perkara itu sangat besar. Orang pun banyak bercakap baik mengenainya. Malah ramai kenalan dari jauh datang memberi penghormatan terakhir,” katanya.

Bercakap mengenai kehadirannya dalam memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Idris, YB Fadzli dalam nada sebak berkata, apa dilakukan itu tidak mencukupi jika dibandingkan dengan jasa Allahyarham.

“Tak cukup, tak cukup, saya rasa saya akan merindui dia. Saya rindu teguran membina, teguran ikhlas dia. Saya wakil rakyat baharu, saya perlu teguran begini. Dia cakap yang sepatutnya saya dengar. Itu yang saya rasa sangat akan kehilangannya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram