YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika majlis pengebumian jenazah Allahyarham Dato' Sri Johari Harun

KERAJAAN PAHANG SALUR BANTUAN KEPADA WARIS MANGSA NAHAS PESAWAT

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUALA LUMPUR, 20 OGOS 2023 : Kerajaan Pahang akan menyalurkan bantuan kepada waris mangsa nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini Kerajaan Pahang telah pun menyumbangkan bantuan awal kepada waris-waris terlibat.

“Seperti mana Kerajaan Negeri janjikan kita akan bagi bantuan dan saya minta pejabat saya uruskanlah, bantuan awalan kita sudah bagi sikit kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pengebumian jenazah Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun yang merupakan antara 10 mangsa nahas pesawat tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan pemergian Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan kehilangan besar kepada rakyat Pahang khususnya penduduk di Pelangai, Bentong.

Kesungguhan Allahyarham yang begitu komited dan kuat bekerja dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan kepadanya.

“Saya rasa ini satu takdir yang tidak dapat dielakkan tetapi memang satu kehilangan bagi kami di Pahang dan saya percaya ianya juga kehilangan amat besar kepada rakyat di dalam kawasan DUN Pelangai,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu sejak mula tragedi berlaku sehinggalah urusan pengkebumian. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram