Oleh : Norfarhiza Mohd Atar
Foto : Hasuzila Hashim, Mohamad Yusof Tashfin Musa
KUALA LUMPUR, 20 OGOS 2023 : Cuaca redup dan suasana pilu mengiringi pengebumian jenazah Allahyarham Mohammad Taufiq Mohd Zaki, 38, yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang kira-kira jam 1.15 tengahari tadi.
Mohammad Taufiq merupakan salah seorang daripada 10 mangsa nahas pesawat yang terhempas di Bandar Elmina pada Khamis lalu.

Allahyarham bertugas sebagai pegawai khas kepada Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Umno Bahagian Bentong, Datuk Seri Johari Harun yang turut terkorban dalam nahas tersebut.
Kira-kira 150 ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Turut serta Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Encik Hamizi Yaakob dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang, Encik Zulkhairil Zainuddin.
Allahyarham Mohammmad Taufik meninggalkan seorang balu, Suzana Paiman, 38, dan empat cahaya mata lelaki berusia 10, 7, 5 dan 3 tahun.
Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa keluar daripada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang setelah selesai kesemua urusan mengenalpasti identiti melalui proses pemadanan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang sekitar jam 10.45 pagi bagi proses mandi/tayamum dan solat jenazah kali pertama.
Setelah itu jenazah Allahyarham disolatkan buat kali kedua di Masjid Bukit Indah, Ampang sekitar jam 12.00 tengahari.
Van jenazah yang membawa Allahyarham Mohammad Taufiq tiba di tanah perkuburan sekitar jam 12.30 tengahari dan urusan pengebumian siap sepenuhnya 45 minit kemudian.-PAHANGMEDIA