Allahyarham Dato' Sri Johari Harun seorang pemimpin berwibawa dan dinamik. (Gambar Fail)

NAHAS PESAWAT : PAHANG KEHILANGAN PEMIMPIN YANG BERWIBAWA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 19 OGOS 2023 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun sebagai seorang pemimpin berwibawa dan dinamik

Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, ketokohan Allahyarham dalam mengurus dan mentadbir portfolio yang telah diamanahkan kepadanya telah dilaksanakan dengan sangat baik.

Justeru, pemergian Allahyarham pada Khamis lalu merupakan kehilangan besar kepada pucuk pimpinan Kerajaan Pahang khususnya portfolio yang telah digalas Allahyarham selama lapan bulan selepas beliau memenangi kerusi Dewan Negeri Pelangai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada tahun lalu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Sudah tentu saya merasa kehilangan seorang sahabat, seorang rakan sejawat dan seorang tokoh, pemimpin yang berwibawa, sangat dinamik dan selalu mengutarakan isu-isu yang bersabit dengan portfolio beliau dan juga di kawasan beliau,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Jelasnya, Allahyarham seorang yang sangat bersungguh-sungguh dan komited dalam membangunkan kawasan Pelangai selain berusaha melaksanakan tugas di bawah portfolio beliau iaitu Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang.

Dalam kejadian tersebut, pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berada dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang telah terhempas di Bandar Elmina dan mendapat pelepasan mendarat pada jam 2.50 petang.

Pihak polis telah mengesahkan seramai 10 mangsa maut dengan lapan daripadanya adalah penumpang dan krew pesawat manakala dua lagi mangsa adalah orang awam yang masing-masing menaiki sebuah kereta dan motosikal yang melalui kawasan tersebut ketika pesawat terhempas. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram