Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (Foto : PDRM)

PROSES PENGECAMAN MANGSA PESAWAT TERHEMPAS SELESAI ISNIN – KETUA POLIS NEGARA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 18 OGOS 2023 : Proses pengecaman mangsa nahas pesawat ringan di Elmina dijangka selesai paling awal Isnin ini berikutan banyak masa diperlukan bagi padanan DNA mangsa-mangsa terlibat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihak forensik perlu membuat padanan DNA kepada lebih 200 bahagian anggota badan, selain cebisan mangsa terlibat.

“Kita mengambil human remains ini ada yang tinggal badan, ada yang kepala sahaja, dan ada yang cebisan, mengikut Unit Forensik, ada yang cebisan lebih kurang 200 lebih.

“Memakan masa untuk mendapatkan DNAnya sehingga hari Isnin. Dan saya di sini tadi telah berjumpa dengan keluarga mangsa, waris-waris mangsa, untuk menasihatkan supaya mereka tida menunggu berdekatan dengan Unit Forensik.

“Ini kerana pihak Kimia telah pun memberitahu kita bahawa yang paling awal memang hari Isnin, tak bolehlah kata hari Ahad pasal terlampau banyak sangat untuk dibuat matching DNA dan juga persamaan dengan body-body yang kita jumpa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berkaitan insiden pesawat ringan terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16 Shah Alam, Selangor semalam di perkarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Beliau berkata pihak Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) akan mengurus dan memudahkan semua urusan pengebumian jenazah.

“Pihak Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, kita telah pun berbincang tadi akan menguruskan dan mempermudahkan semua urusan dari segi mandikan mayat, apabila dah habis semua (padanan) DNA ini dah dapat tahu, dah match semua, daripada mandi, solat, kenderaan semua.

“Kenderaan telah disediakan sebanyak 10 buah dan pihak polis cuma akan escort daripada sini (HTAR) sehinggalah kalau di Sungai Petani itu kita escort sampai ke Sungai Petani, kita akan escort border ke border.

“Termasuk jugalah yang nak balik ke Pahang, nak kebumi ke Pahang, yang nak kebumi di sini (Selangor), dan Putrajaya kita akan uruskan dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor telah permudahkan semuanya,” katanya.

Menurut beliau lagi, ahli keluarga serta waris mangsa tidak perlu menunggu proses yang dijalankan di HTAR, dan pihak berkuasa akan menghubungi sekiranya ada keperluan.

“Keluarga tak perlu tunggu di sini nanti sakit pula, dengan panas, dengan hujan, bagus tunggu (di penginapan) dan kita akan call. Pihak hospital dan pihak kita ada di sini akan call bagitahu dah selesai, boleh datang untuk nak tengok ke nak sembahyangkan,” katanya.

Dalam kejadian 2.40 petang semalam, 10 mangsa dilapor terkorban dalam nahas pesawat persendirian terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina.

Pesawat ringan yang membawa enam penumpang termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di Elmina. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram