Seorang pengurus projek sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan menjalankan perlombongan bagi mengeluarkan pasir silika secara haram.

PENGURUS PROJEK DIDAKWA JALANKAN PERLOMBONGAN SILIKA SECARA HARAM

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 18 OGOS 2023 : Seorang pengurus projek sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan menjalankan perlombongan bagi mengeluarkan pasir silika secara haram.

Tertuduh, Teh Tze Jin, 45, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas kesalahan yang didakwa dilakukan pada Mei lalu di Sungai Baging, Mukim Sungai Karang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa telah melakukan kesalahan menjalankan perlombongan tanpa suatu lesen atau pajakan yang sah berhampiran tapak Projek PR1MA, Sungai Baging Kuantan kira-kira jam 4.10 petang pada 21 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, pegawai penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membuat pemantauan dan menahan satu buah jentera yang terlibat bagi mengeluarkan pasir silika secara haram.

Tertuduh didakwa telah mengeluarkan arahan kepada ke atas pemandu jentera bagi menjalankan kerja-kerja pemindahan pasir silika di kawasan berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara untuk suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Rusnizam Abdullah turut memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan ke atasnya memandangkan hanya dia bekerja bagi menampung isteri yang tidak bekerja serta empat orang anak yang masih kecil.

Hakim Azman Mustpha kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 8 September bagi pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Taqiuddin Azizan dan Asmadi Mahyudin. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram