Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 16 OGOS 2023 : Lapan orang lelaki termasuk lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) selepas dikesan melakukan kerja-kerja pemindahan bahan batuan (tanah merah) secara haram berdekatan RTP Bukit Goh, semalam.
Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 1 tengahari itu, rondaan dan pemantauan menggunakan dron telah dilakukan di satu kawasan yang disyaki menjalankan aktiviti pemindahan tanah dengan menggunakan tiga buah jengkaut dan tiga buah lori hantu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UPNP, aktiviti pemindahan tanah yang dilakukan telah berjaya dirakam sebelum pegawai penguatkuasa bergegas ke lokasi berkenaan untuk melakukan pemeriksaan dan serbuan.

“Pengusaha warga tempatan yang ditemui di lokasi berkenaan gagal menunjukkan sebarang kelulusan bagi aktiviti pemunggahan tanah di kawasan tersebut sebelum menahan pengusaha berkenaan bersama tujuh lelaki warga Indonesia yang berada di lokasi tersebut.
“Pihak UPNP juga telah merampas tiga buah jengkaut dan empat buah lori hantu yang digunakan dalam aktiviti haram berkenaan selain menyerahkan lima orang PATI kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pahang bagi tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan tersebut.
Pemindahan bahan batuan secara tidak sah merupakan satu kesalahan dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 426 (1) Kanun Tanah Negara (Akta 828) bagi tindakan selanjutnya. – PAHANGMEDIA