YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

KERAJAAN PAHANG RANCANG WUJUD TAMAN TEKNOLOGI BERSEPADU LIPIS

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 15 OGOS 2023 : Kerajaan Pahang merancang mewujudkan Taman Teknologi Bersepadu Lipis (TTBL) yang merangkumi pembangunan Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) berkonsepkan pusat pembangunan bersepadu industri bernilai tinggi dengan teknologi mesra alam, pendigital, sumber manusia yang berpengetahuan dan kompeten.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan TTBL terkandung di dalam Laporan Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus yang telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus pada 3 Jun 2022.

“lni selaras dengan Pelan Transformasi lndustri Mineral 2021-2030 di mana kerajaan bercadang untuk menjadikan Malaysia salah satu hab pembangunan industri mineral yang memiliki rantaian lengkap.

“Ini kerana permintaan bahan hasil mineral telah meningkat begitu tinggi dan akan terus berkembang pada masa akan datang kerana peningkatan permintaan produk pengguna elektrik dan elektronik di dunia.

“Malah, dengan kedudukan Malaysia sebagai antara pengeluar utama dunia bahan hasil mineral dan sektor elektrik dan elektronik yang merupakan penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, menjadikan pertembungan aktiviti sumber huluan dan potensi pembangunan industri hiliran serta bagi menyokong pembangunan ekonomi RMKe-12, sektor mineral perlu diberi perhatian khusus dan dibangunkan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam kenyataan itu, beliau berkata, terdapat dua komponen pembangunan bagi TTBL iaitu Akademi Mineral Malaysia Pahang yang merangkumi beberapa komponen iaitu pusat pendidikan, latihan dan penyelidikan yang dapat membangunkan teknologi baharu dan menghasilkan tenaga kerja mahir dalam bidang mineral.

Manakala komponen kedua ialah Pusat Pemprosesan Mineral di Sungai Temau yang dapat memanfaatkan sumber semula jadi sedia ada dan dapat mewujudkan industri bernilai tinggi di peringkat pertengahan dan hiliran tanpa perlu menghantar sumber mineral luar dari Negeri Pahang untuk diproses.

Jelasnya, cadangan Penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang di Lipis adalah wajar kerana dapat berperanan sebagai sebuah pusat pembelajaran yang menawarkan program sijil, latihan, kursus pendek, diploma dan perkhidmatan teknikal berasaskan industri mineral dan One Stop Centre bagi maklumat pembangunan mineral untuk Negeri Pahang khasnya dan negara amnya.

Sebagai langkah proaktif kampus sementara AMMP akan dimulakan di Lipis Centrepoint menerusi Pahang Skills Development Centre (PSDC) yang dilantik sebagai peneraju pembangunan Akademi Mineral Malaysia Pahang manakala Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) selaku perunding. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram