POSTER PERTIKAI PELANTIKAN MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN PALSU – WAN ROSDY

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 14 OGOS 2023 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menafikan telah mengeluarkan satu kenyataan mempertikaikan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini.

Beliau dalam satu kenyataan media berkata, kenyataan palsu yang dikeluarkan dalam bentuk poster itu merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu kepada dirinya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya satu poster yang tular di media sosial kononnya saya mempertikaikan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

“Bagi saya ini merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang cuma memecahbelahkan kerjasama antara Barisan Nasional dan juga Pakatan Harapan serta mencalar imej saya selaku Menteri Besar Pahang dan Naib Presiden UMNO.

“Malah, gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Pahang masih lagi kukuh dalam terus mentadbir Negeri Pahang sehingga hari ini,” katanya.

Beliau turut meminta pihak berkaitan supaya mengehentikan fitnah kebencian yang boleh merosakkan keharmonian negara.

“Cukup-cukuplah berpolitik 24 jam dan hentikanlah menyebar fitnah kebencian yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan kita semua,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram