Penduduk Orang Asli di Pos Senderut, Lipis serta kawasan sekitarnya berpeluang menunaikan Solat Jumaat buat pertama kali di Surau As Syakirin Sekolah Kebangsaan Senderut, bermula hari ini.

ORANG ASLI TUNAI SOLAT JUMAAT PERTAMA DI POS SENDERUT

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 11 OGOS 2023 : Penduduk Orang Asli di Pos Senderut, Lipis serta kawasan sekitarnya berpeluang menunaikan Solat Jumaat buat pertama kali di Surau As Syakirin Sekolah Kebangsaan Senderut, bermula hari ini.

Perkara berkenaan diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang berkongsi rasa syukur dan gembira mengenai usaha berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia merupakan satu usaha penting dalam dakwah Islam kepada masyarakat Orang Asli di kawasan DUN Jelai dari semasa ke semasa agar lebih ramai lagi yang mendapat hidayah daripada Allah SWT.

“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana pada hari yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini, masyarakat Islam di kawasan Orang Asli Pos Senderut, Lipis sudah boleh melaksanakan Solat Jumaat di surau berkenaan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan usaha murni ini terutamanya Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang telah memberi kebenaran kepada surau ini untuk melaksanakan Solat Jumaat berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Program agihan Juadah Makmur iaitu pengedaran makanan percuma yang menjadi inisiatif Kerajaan Negeri turut diadakan di surau berkenaan selepas Solat Jumaat.

Surau yang mampu menempatkan kira-kira 100 orang jemaah dalam satu masa ini menerima peruntukan sebanyak RM80,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi kerja-kerja tambahbaik melibatkan pemasangan karpet serta baik pulih dinding sebelum ia dibuka untuk kegunaan penduduk setempat. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram